Tuesday, January 18, 2011

Kesenian Anyaman Melayu. Antara Kreativiti dan Sainstifik.

Kesenian Anyaman Melayu. Antara Kreativiti dan Sainstifik.



Pengenalan
Kesenian wujud, berkembang dan diturunkan dalam atau melalui tradisi-tradisi sosial atau masyarakat. Kesenian adalah milik masyarakat, dilihat sebagai cara hidup yang bertalian dengan keindahan dari para ahli masyarakat. Kesenian ini menjadi tunjang kepada kebudayaan masyarakat Melayu sejak turun temurun lagi. Dengan adanya kesenian seperti ini identiti masyarakat Melayu lebih terserlah dan dikenali ramai.
Warisan seni tradisional di kalangan orang Melayu disampaikan secara lisan dari generasi kepada satu generasi, namun artis sebagai individu yang menghasilkan mempunyai ruang untuk menggalakkan kreativiti dan mempertahankan nilai-nilai estetik karya seni tersebut. Kesenian bangsa Melayu telah diakui dunia sebagai unik dan menarik. Seni rupa dalam masyarakat Melayu merupakan ciptaan yang mengandungi unsur-unsur seni yang dihasilkan oleh orang Melayu melalui ukiran, anyaman, tenunan, seni bina dan sebagainya.
Seni kraftangan adalah hasil seni yang dicipta untuk digunakan, tetapi digubah dengan memasukkan unsur-unsur seni untuk memberi bentuk yang indah dan menarik hati. Penciptaan kraftangan itu memerlukan keahlian dan kecekapan dalam penggunaan bahan-bahan asas yang teratur sejak dari proses awal hinggalah sesuatu hasil kraftangan itu tercipta. Proses penciptaan kraftangan tersebut memerlukan daya estetika demi untuk memberikan rekabentuk yang indah dan menarik.
Seni anyaman adalah suatu bentuk kraf yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat Melayu dan rumpun nusantara. Daripada tikar hingga kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh dilihat di mana-mana. Ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika merupakan jenis yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman.
bamboo-forest
Menganyam merupakan proses menjalin jaluran daun, lidi, rotan, akar, buluh dan beberapa jenis tumbuhan yang lain. Beberapa jenis reka bentuk kraftangan dihasilkan melalui nyaman demi untuk mencipta sesuatu alat keperluan harian contohnya menghasilkan topi, tudung saji, bakul dan menganyam tikar untuk mengalas tempat duduk.
anyaman_various
Kraf Bukan Sekadar Pernyataan Estetik dan Kreatif Masyarakat Melayu
Estetik dikaitkan dengan istilah nilai-nilai keindahan, termasuk di dalamnya makna, antara lain elok, molek, cantik, anggun, bagus, lembut, utuh, seimbang, padu, bening, tenang, hampa, suram, dinamik, kukuh, hidup, gerak, hambar, sentimental dan tragik. Berekspresi estetik merupakan antara keperluan manusia yang tergolong dalam keperluan budaya, keperluan ini terhasil kerana faktor dorongan dari dalam diri manusia yang secara asasi sentiasa ingin merefleksikan keradaannya sebagai makhluk yang bermoral, berakal fikiran dan berperasaan.
Keperluan estetik, baik secara langsung mahupun tidak langsung, terserap dalam kegiatan-kegiatan untuk memenuhi keperluan lainnya, sama ada keperluan primer, sekunder, ataupun keperluan budaya lainnya, yang berkaitan dengan perasaan baik dan benar, adil dan tidak adil serta masuk akal atau sebaliknya.
rumah
Apabila menjelaskan makna estetik maka ia banyak dibincangkan berkaitan dengan deria pengamatan terhadap sesuatu perkara atau suasana yang menekankan aspek kesenian atau keindahan, bukan menekankan aspek fungsional serta kecanggihan objek tersebut. Manakala apabila menjelaskan makna kreatif dalam sesuatu hasil kesenian Melayu, kerap pemaknaan penghasilan hanya dilingkungi hasil pengamatan serta manifestasi kreatif pandai kraf terhadap alam Melayu.
anyamtudungsaji2
Tidakkah kreatif itu merupakan hasil kesenian sesuatu bangsa yang membentuk budaya ekspresif yang melaluinya kelompok bangsa tersebut menyatakan keperluan dan keinginan dalam kehidupan mereka?. Kreatif dalam konteks karya kraf sering dikaitkan dengan ketidaksengajaan, desakan hidup dan spontan. Apakah kreatif dalam pemaknaan karya kraf Melayu terasing daripada proses pemikiran yang begitu teliti, komprehensif dan unik?
tikar
Ini jelas membuktikan bahawa, kecanggihan menghasilkan objek seni ini jarang dikaitkan dengan pemikiran saintifik dan pemikiran matematik. Dokumentasi mengenai kesenian anyaman Melayu tidak dikaitkan dengan kecanggihan pemikiran saintifik dan matematik seperti ahli matematik Yunani Pythagoras ataupun Archimedes. Kenapa jarang sekali seni ukir dan anyaman ini disamakan dengan ilmu sains dan matematik ? Ukiran sering hanya dikaitkan sebagai luahan daya kreativiti dan estetika sahaja seperti yang dinyatakan oleh Siti Zainon (1986), iaitu:
”………………………seniman alam Melayu bekerja menghasilkan seni gunaan tetapi penuh daya kreativiti dan estetika yang memang telah teruji sejak berzaman. Mengukir bukan sekadar menggunakan bahan tetapi juga mengeluarkan buah fikiran dan perasaan”.
Seni anyaman mempamerkan budaya dan cara hidup orang-orang melayu dahulu kala. Ia kadang kala disebut sebagai “seni miskin” kerana dilakukan oleh orang-orang kampung semata-mata untuk memenuhi keperluan harian mereka. Anyaman rotan menghasilkan produk seperti bakul dan perabot yang kebanyakannya adalah untuk kegunaan sendiri atau dijual secara kecil-kecilan di pasar terbuka. Penghasilan sesuatu produk rotan bukanlah perkara yang mudah bagi orang dahulu kala.
rotan
Bahan mentahnya, iaitu rotan, hanya didapati di dalam hutan belantara. Ia perlu ditebang, dibersihkan, dirawat dan dikeringkan dengan teliti supaya sesuai untuk dijadikan peralatan yang boleh digunakan. Masyarakat dahulu kala juga perlu memikirkan cara yang paling berkesan untuk menghasilkan produk yang bukan hanya cantik tetapi boleh bertahan lama.
Rotan, ia merupakan hasil hutan bukan kayu yang terpenting di Semenanjung Malaysia. Tumbuhan ini lazimnya tumbuh liar dengan banyaknya di kawasan-kawasan pendalaman hutan semulajadi di Pahang, Perak dan Kedah. Perusahaan rotan di negara ini lebih tertumpu kepada aktiviti-aktiviti pengeluaran perabot bagi pasaran tempatan.
Rotan yang paling popular dan menjadi pilihan utama bagi pembuatan rangka dan perabot rotan adalah rotan jenis manau atau nama saintifiknya Calamus manan. Rotan jenis besar yang lain termasuklah rotan jenis dok (Calamus ornatus) dan semambu (Calamus scipionum). Rotan sega (Calamus caesius) pula adalah sejenis rotan kecil yang mempunyai nilai komersial yang tinggi. Saiz rotan ini tidak melebihi jari kelingking dan lazimnya digunakan bagi tujuan ikatan dan penyambungan komponen-komponen perabot.
Di kawasan-kawasan luar bandar, spesies rotan yang kecil saiznya digunakan sebagai bahan anyaman untuk membuat tali, bakul dan dulang. Rotan yang dikeluarkan dari hutan dibersihkan, dirawat dan dijemur terlebih dahulu sebelum dihantar untuk diproses. Diameter rotan diambil kira untuk menentukan mata pisau yang akan digunakan untuk setiap peringkat memotong rotan.
Peringkat kedua adalah proses membersihkan permukaan rotan. Rotan akan dibuang kulit luarnya dan permukaan rotan dibersihkan sebanyak dua kali. Rotan yang terhasil melalui proses ini adalah lebih putih dan bersih. Sebarang kekotoran yang masih tertinggal akan dibuang secara manual.
Proses seterusnya adalah menghasilkan bilah-bilah rotan yang dikenali sebagai penjalin. Rotan akan diukur diameternya sekali lagi kerana saiz rotan mengecil apabila kulit luarnya dibuang. Mata pisau yang sesuai dengan saiz baru rotan digunakan untuk mendapat jumlah maksimum penjalin rotan.
Semasa proses ini bahagian tengah rotan yang dipanggil hati rotan akan diproses sekali lagi untuk mendapatkan beberapa lagi bilah rotan penjalin. Sebagai contoh rotan yang berdiameter 9mm boleh menghasilkan lapan bilah rotan penjalin semasa peringkat pertama proses memotongnya dan empat lagi semasa proses kedua. Bahagian paling dalam pada batang rotan akan diproses untuk digunakan sebagai struktur tiang pada produk rotan yang bakal dihasilkan.
Pada keseluruhannya, hanya sedikit sahaja bahagian rotan yang tidak boleh digunakan. Masyarakat Melayu dahulu tidak didedahkan kepada sebarang teknologi moden dalam menghasilkan produk mereka. Pengetahuan mereka adalah berasaskan apa yang diturunkan oleh nenek moyang mereka selain dari penerokaan melalui  ‘trial and error‘ dan pengalaman konkrit yang dilalui. Latihan tidak formal ini telah memungkinkan mereka merekacipta dan membentuk produk yang bukan hanya sesuai untuk kegunaan harian mereka malah merupakan penciptaan yang kreatif dan penuh daya estetika.
Disebalik kreativiti dan nilai estetika yang terpancar pada sesuatu produk hasil anyaman, tidak dinafikan bahawa ia terhasil dari pemikiran penggubahnya dan proses-proses tertentu yang perlu dilalui untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Produk anyaman yang terhasil sudah cukup membuktikan bahawa masyarakat Melayu mempunyai daya pemikiran yang bukan hanya mampu mengenalpasti bahan dan proses malah menjalankan perkiraan mental (mental arithmetic) secara tepat dan terperinci dan menaakul secara saintifik didalam penghasilan produk berasaskan rotan.
Jika diteliti secara mendalam pemikiran saintifik dan matematik masyarakat Melayu sememangnya tersirat di dalam gubahan dan corak yang sangat halus dan berseni yang dihasilkan. Menurut Lawson (1995) pemikiran saintifik individu berkembang dari peringkat yang rendah kepada peringkat yang lebih tinggi mengikut perkembangan kognitif seseorang individu.
Perkembangan pemikiran saintifk berlaku apabila individu berupaya menguasai pengetahuan dan proses saintifik melalui pemikiran logik dan penaakulan. Dari aspek ini individu boleh beroperasi pada peringkat diskriptif di mana mereka menjalankan operasi seperti pemerhatian, menyenaraikan fakta, pengkelasan dan membuat generalisai. Pemikiran saintifik peringkat tinggi pula melibatkan individu menjalankan proses-proses seperti berfikir secara kombinatorial, mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis, menjalankan pemikiran-pemikiran berkadaran, kebarangkalian dan korelasi.
Persoalannya sekarang adalah adakah seni anyaman masyarakat Melayu menunjukkan corak pemikiran saintifik pada penggubah dan gubahannya? Jika diteliti dari peringkat pemprosesan bahan mentah sehingga terhasil produk seninya adalah jelas dan ketara bahawa pemikiran saintifik memainkan peranan yang besar di dalam seni anyaman. Peringkat pemprosesan bahan mentah melibatkan pemikiran saintifik dari beberapa aspek seperti:
       i. pemerhatian yang teliti terhadap jenis rotan yang diperolehi;
       ii. mengenalpasti ciri-ciri rotan seperti kematangan, saiz dan jenis;
      iii. mengkelaskan rotan mengikut ciri;
      iv. dan membuat generalisasi seperti menentukan rotan yang paling sesuai berdasarkan fakta-fakta yang dikumpul.
Pemikiran sebegini lebih bercorak deskriptif dan banyak menggunakan pengalaman konkrit serta pengetahuan sedia ada mereka. Oleh kerana pendedahan kepada maklumat saintifik secara formal tidak diperolehi, masyarakat Melayu banyak menggunakan pemikiran serta menaakul secara logik. Pengetahuan ini digunakan dan diuji secara ‘trial and error’ untuk memperoleh bahan paling baik bagi penghasilan produk. Seni anyaman masyarakat Melayu juga boleh menceritakan proses pemikiran saintifik peringkat tinggi yang tersirat di dalam setiap gubahan mereka. Antarannya termasuk:
      i. keupayaan membuat pemikiran kombinatorial menentukan kombinasi genap dan ganjil di dalan gubahan;
     ii. keupayaan mengawal pembolehubah dan menjana hipotesis apabila menentukan jumlah penjalin untuk mendapatkan saiz serta bentuk yang diinginkan;
    iii. Menjalankan pemikiran berkadaran, kebarangkalian serta korelasi dalam aspek seperti membuat korelasi di antara saiz rotan dan saiz produk yang dihasilkan, berfikir secara berkadaran apbila menentukan pewarnaan pada bahan mentah dan proses pemikiran secara kebarangkalian terhadap corak yang akan dihasilkan. Jelas sekali seni anyaman, dengan corak dan pengiraan geometriknya dan proses-proses saintifiknya menceritakan bagaimana masyarakat Melayu dahulu kala berfikir dan menaakul secara saintifik.
Kesimpulan
Anyaman adalah kesenian yang bersifat lahiriah, mempunyai makna yang dalam dan kewujudannya merupakan wadah pemaparan idea yang melibatkan pancaindera penglihatan, pendengaran, pemikiran dan kesedaran secara seimbang sebagai symbol yang memberi makna yang tersendiri dalam masyarakat berhubung dengan adat, agama, kepercayaan, adab, perasaan, corak pemikiran dan falsafah hidup orang Melayu.
Peter Dolmer (1997) mentafsirkan makna kraf sebagai aktiviti kreatif berkemahiran dan penelitian proses-proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan seni anyaman ini menunjukkan bahawa ianya memerlukan pemikiran saintifik dan matematik yang kompleks dan rumit yang selalunya hanya dianggap sebagai simbol tanda kepekaan yang asli atau hasil kerja seni.
Seni anyaman Melayu sememangnya indah. Tanpa seni, tidak lengkaplah budaya dan warisan bangsa.

Sumber: Jurnal Peradaban Melayu, Jilid 5, Tahun 2007 – Pemikiran Saintifik dan Matematik dalam Kraf Anyaman Buluh Melayu Tradisional: Satu Kajian Kes. UPSI.

No comments:

Post a Comment